
Selepas sepuluh hari yang dipenuhi kesibukan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 akhirnya tibalah masa untuk seluruh pasukan Manés Wordworks menarik nafas lega. Sebagai penghargaan atas setiap tenaga, masa dan komitmen yang telah dicurahkan kami berpeluang meluangkan tiga hari dua malam di Pulau Pinang bermula dari 23 hingga 25 Julai 2026 dalam sebuah retreat yang penuh makna. Lebih daripada sekadar percutian retreat ini menjadi ruang untuk berehat serta dapat mengukuhkan hubungan sesama rakan sekerja dan mengenang kembali perjalanan yang telah kami lalui bersama sepanjang PBAKL.
Jika di pejabat kami lebih banyak berbincang tentang kerja dan mengejar masa manakala suasana di retreat pula jauh berbeza. Gelak tawa lebih kerap kedengaran daripada bunyi papan kekunci perbualan tidak lagi berkisar tentang kerja dan setiap orang bebas menjadi diri sendiri. Di sinilah kami dapat melihat sisi rakan sekerja yang mungkin tidak pernah muncul ketika waktu bekerja seperti ada yang rupanya gemar bergurau ada yang menjadi pencetus suasana dan ada juga yang tanpa disangka mempunyai bakat terpendam yang menghiburkan semua.
Perkara paling bermakna sepanjang retreat ini bukanlah aktiviti yang dijalankan tetapi masa yang diluangkan bersama. Tanpa tekanan mengejar tarikh akhir atau menyelesaikan tugasan setiap orang dapat menikmati saat-saat yang sederhana tetapi cukup bermakna. Berkongsi cerita, bergelak tawa dan menikmati suasana santai bersama-sama menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Retreat ini juga mengingatkan kami bahawa di sebalik setiap kejayaan Manés Wordworks terdapat sebuah pasukan yang saling menyokong antara satu sama lain. Hubungan yang sebelum ini terjalin melalui tugasan harian menjadi semakin akrab apabila kami berpeluang mengenali antara satu sama lain di luar suasana kerja. Momen seperti inilah yang membina rasa percaya, keserasian dan semangat kekitaan dalam pasukan.
Walaupun PBAKL 2026 telah melabuhkan tirainya kenangan yang tercipta sepanjang retreat ini akan terus dibawa bersama. Ia menjadi penutup yang indah kepada sebuah perjalanan yang penuh cabaran dan pada masa yang sama menjadi permulaan kepada semangat yang baharu untuk terus melangkah bersama dalam setiap perjalanan Manés Wordworks yang seterusnya.