

Ada sesuatu yang istimewa apabila seorang penulis bertemu dengan pembacanya. Watak-watak yang selama ini hanya hidup di atas helaian buku akhirnya menjadi topik perbualan manakala setiap soalan yang diajukan membuka ruang kepada kisah-kisah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini. Itulah suasana yang dapat dirasai sepanjang Jemputan ke Aqtara: Intimate Session bersama Effalee yang berlangsung pada 28 Jun 2026 di MPH TRX di mana sebuah pertemuan yang sederhana tetapi penuh dengan momen yang bermakna.
Sejak sesi bermula, suasana terasa cukup mesra. Para peminat Effalee hadir dengan senyuman dan rasa teruja untuk bertemu penulis yang telah banyak menemani mereka melalui karya-karyanya. Bagi sesetengah peminat inilah peluang pertama untuk bertemu secara berdepan dengan Effalee setelah sekian lama mengikuti perjalanan penulisannya.
Sepanjang sesi berlangsung, Effalee berkongsi pelbagai cerita tentang perjalanan sebagai seorang penulis bermula daripada bagaimana idea sebuah novel tercetus cabaran sepanjang proses penulisan sehinggalah detik-detik yang menjadi inspirasi dalam menghasilkan karya. Setiap perkongsian disampaikan dengan santai dan bersahaja membuatkan para peminat tidak sekadar mendengar malah benar-benar menghayati kisah di sebalik setiap buku yang mereka baca.


Sesi soal jawab pula menjadi antara momen yang paling dinantikan. Pelbagai persoalan diajukan oleh para peminat Effalee daripada perkembangan karya baharu sehinggalah kepada proses kreatif yang dilalui oleh Effalee. Perbualan yang berlangsung bukan sahaja mengundang senyuman dan gelak tawa malah memperlihatkan hubungan akrab yang terjalin antara seorang penulis dengan peminat yang sentiasa menyokong hasil karyanya.
Acara diteruskan dengan sesi tandatangan buku dan bergambar bersama Effalee. Walaupun kelihatan ringkas detik-detik inilah yang paling bermakna buat ramai peminat. Bagi sesetengah pembaca memiliki novel Effalee sahaja sudah cukup bermakna. Namun, pada hari itu ramai yang sanggup mendapatkannya demi peluang untuk bertemu penulis kesayangan mereka dan membawa pulang novel yang dihiasi tandatangannya sendiri. Di sebalik dakwat yang terukir pada helaian pertama tersimpan sebuah kenangan yang tidak mampu dibeli pada hari-hari biasa. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk berbual seketika dan ada juga yang pulang dengan kenangan yang pastinya akan dikenang untuk tempoh yang lama.

Lebih daripada sekadar sebuah sesi bertemu peminat Intimate Session bersama Effalee menjadi bukti bahawa setiap karya mampu menghubungkan manusia. Buku mungkin menjadi titik permulaan tetapi pertemuan seperti inilah yang mengeratkan lagi hubungan antara penulis dan pembacanya. Semoga akan ada lebih banyak ruang seperti ini pada masa hadapan untuk kita berkongsi cerita, inspirasi dan kecintaan terhadap dunia buku bersama-sama. Di sebalik setiap pertemuan yang bermakna pasti ada pihak yang membuka ruang untuk menjadi kenyataan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada MPH Bookstores khususnya MPH TRX atas kesudian memberikan kepercayaan dan peluang kepada Manés Wordworks untuk menganjurkan Jemputan ke Aqtara: Intimate Session bersama Effalee. Sokongan yang diberikan bukan sahaja membantu menjayakan acara ini malah membuka ruang bagi menemukan penulis dengan para peminat dalam sebuah suasana yang cukup dekat, mesra dan penuh makna.